Dulu vs sekarang.

PAS DULU DAN KINI; PERTEMBUNGAN 2 PEMIKIRAN TOKOH BESAR FADZIL NOOR vs HADI AWANG

1. PAS yang ditubuhkan sejak tahun 1951 telah melalui berbagai fasa kepimpinan sehingga lahirnya era kepimpinan ulama pada awal tahun 1980-an apabila golongan muda yang terpengaruh dengan revolusi Iran bangkit menyingkirkan Almarhum Asri Muda. Kepimpinan PAS selepas itu diterajui ulama termasuk Almarhum Yusof Rawa, Almarhum Fadzil Noor, Almarhum Nik Abdul Aziz Nik Mat dan kini Tan Sri Hadi Awang.

2. Sejak era kepimpinan ulama menerajui PAS, PAS telah memacak perjuangan Islam sebagai teras perjuangan ahli-ahlinya. Semangat perjuangan yang berkobar-kobar ini telah disemarakkan lagi dengan fahaman yang ekstrim dengan mengkafirkan musuh tradisi UMNO sehinggakan wujudnya Amanat Haji Hadi yang dilafazkan di Kg Banggol, Peradong, Terengganu pada tahun 1981. Amanat ini telah menyebabkan wujudnya salah faham dan perpecahan dalam kalangan masyarakat Melayu di mana terdapat kejadian 2 imam, kenduri berbeza politik tidak dihadir, dan tidak memakan makanan sembelihan mereka yang berbeza politik. Fahaman takfiri yang ekstrim ini akhirnya telah mengundang tragedi berdarah Memali yang mengorbankan Almarhum Ustaz Ibrahim Mahmud dan 13 orang pengikutnya. Namun, kesannya, PAS kalah teruk dalam PRU tahun 1986.

3. PAS selepas PRU tersebut yang mula diterajui kepimpinan Fadzil Noor telah memulakan fasa pendekatan yang lebih sederhana. Amanat Haji Hadi tidak lagi dijadikan pegangan dan PAS lebih bersikap moderate (wasatiyyah) dan mula menjalin hubungan politik dengan parti lain termasuk Semangat 46 di bawah Angkatan Perpaduan Ummah (APU). Sikap Fadzil Noor yang terbuka ini kemudiannya membuka pintu kepada kerjasama dengan kaum bukan Melayu terutama dengan DAP bermula secara rasmi di bawah GERAK dan kemudiannya Barisan Alternatif (BA) semasa pilihanraya tahun 1999.

4. Penerimaan rakyat pelbagai bangsa dalam negara ini terhadap PAS bertitik tolak dari sikap politik terbuka Fadzil Noor yang membela kezaliman terhadap Anwar Ibrahim dan gerakan reformasi pada tahun 1998 itu diperjuangkan bersama sehingga PAS berjaya mencipta sejarah memenangi banyak kerusi di Parlimen (27) dan menawan 2 negeri iaitu Kelantan dan Terengganu. Kejayaan ini telah meletakkan PAS di persada politik tanah air dan mula diangkat sebagai peneraju utama parti pembangkang.

5. Namun, pemergian Fadzil Noor pada tahun 2002 yang kemudiannya PAS diterajui oleh Hadi Awang membawa PAS kembali ke era ekstrim, walaupun cuba diimbangi oleh golongan moderate dalam PAS yang akhirnya disingkirkan pada tahun 2015. Golongan ini kemudiannya menubuhkan Parti Amanah Negara. Sikap sederhana perjuangan Amanah yang meneruskan pemikiran politik Fadzil Noor ini yang membuatkan saya memutuskan untuk menyertai Amanah.

6. Secara peribadi, saya telah dididik tentang pendakatan sederhana ini sejak remaja. Ini berlaku ketika Fadzil Noor bersama-sama Dong Zong memperjuangkan pengiktirafan sijil UEC. Apabila saya membaca berita itu di akhbar, saya bertanya kepada Almarhum “Baba, awat baba boleh bela sekolah Cina?” Lantas Almarhum dengan rileksnya menjawab “Depa Cina pun ada hak depa, bahasa Cina tu bahasa ibunda depa, biaqlah depa nak belajar”. Dan Almarhum mengingatkan saya tentang ayat 6 surah Al-kafirun (Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku). Almarhum juga sering mengingatkan kami adik beradik bahawa Malaysia ini negara majmuk dan kita perlu bijak menyesuaikan diri kerana keamanan dan keharmonian itu lebih penting.

7. Sikap ekstrim kepimpinan Hadi Awang mula bertapak kembali dalam PAS pada tahun 2015 apabila PAS tidak lagi mesra dengan bukan Islam. Slogan PAS For All (PAS Untuk Semua) yang berasaskan konsep rahmatan lil a’lamin tidak lagi diperjuangkan. DAP yang sebelum ini rapat dengan PAS dijadikan kambing hitam kononnya menentang pindaan RUU355 sehingga terkuburnya Pakatan Rakyat (PR). RUU 355 yang didakwa membuka pintu kepada pelaksanaan hudud dimainkan secara besar-besaran sehingga menjadi isu utama PRU-14. Namun, apabila PAS menjadi komponen kerajaan Perikatan Nasional (PN) melalui langkah sheraton, RUU355 menjadi kapal karam.

8. Sikap ekstrim ini diteruskan lagi sehinggalah kempen PRU-15 baru-baru ini dengan membuat pelbagai dakwaan fitnah termasuk menuduh PH membawa agenda kristian dan komunis demi menimbulkan keresahan di kalangan umat Melayu dan berlakulah gelombang hijau. PAS tidak lagi berhujah atas fakta tetapi atas sentimen. Apa sahaja dakwaan yang dibuat tiada asas fakta tetapi umat Melayu ditakutkan dengan objek yang abstrak kononnya Melayu hilang kuasa.

9. Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan hak istimewa orang Melayu tetap dipertahankan dan tidak boleh diubah kerana ia adakah struktur asas Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan adalah kontrak sosial dan ia mengikat hubungan sesama kaum dalam negara ini. Sebarang pindaan pula memerlukan sokongan 2/3 ahli Dewan Rakyat dan memerlukan perkenan Majlis Raja-raja Melayu dan sebab itu, struktur asas ini kekal selagi ada bulan dan bintang.

10. Malah, Ahli Parlimen yang bersama dalam kerajaan perpaduan ini menyaksikan Melayu membentuk golongan paling ramai. Takut pada DAP hanyalah satu permainan politik sedangkan DAP juga dibarisi 4 orang Ahli Parlimen Melayu. Jika benar sekalipun Melayu ketinggalan, ia adalah disebabkan kedudukan sosioekonomi dan pendidikan Melayu yang tidak setaraf. Perlantikan Perdana Menteri (PM)-10 Anwar Ibrahim yang memperjuangkan agenda reformasi dilihat mampu mengubah kedudukan ini.

11. Anwar Ibrahim juga adalah seorang tokoh Islam yang disanjungi ramai tokoh Islam antarabangsa dan oleh itu, umat Melayu tidak perlu berasa bimbang tentang kedudukan Islam dalam negara ini. Malahan, sepanjang 22 bulan PH mentadbir sebelum ini, Islam tidak pun terjejas. Kemampuan Anwar Ibrahim menguruskan ekonomi negara sebelum ini sehingga Malaysia dianggap Harimau Asia (Asian Tiger) mampu untuk mengatasi isu kos sara hidup dan seterusnya mengangkat kedudukan sosioekonomi Melayu. Maka, tidak hairanlah Fadzil Noor sejak awal mengangkat tokoh ini sebagai PM Malaysia.

12. Saya tidak mengharapkan PAS untuk menerima PH dan Amanah, tetapi cukuplah PAS merenung kembali pendekatan politik mantan Presiden Fadzil Noor yang terbuka dan sederhana. Almarhum amat berhati-hati menjaga sensitiviti kaum dan berusaha keras menjauhkan PAS daripada fahaman ekstrim. Ketika berlaku kejadian serangan kumpulan Al-Maunah di Sauk, Almarhum dengan bijak berjaya mengelak persepsi kaitan PAS. Sikap terbuka dan sederhana ini yang bertujuan mengelak ketegangan kaum dan salah faham sesama umat Melayu ini bertepatan dengan kehendak Islam sepertimana firman Allah di ayat 13 surah al-Hujurat (Allah jadikan manusia berbagai bangsa dan suku untuk saling kenal mengenali) dan ayat 10 surah al-Hujurat (Orang Mukmin itu bersaudara).

13. Sentimen perkauman yang dimainkan sekarang adalah fitnah bagi mencapai kepentingan politik PAS. PAS hanya mahukan kuasa dan tidak berbuat apa-apa untuk meningkatkan sosioekonomi umat Melayu. Cukuplah kegagalan kerajaan PN dahulu kita jadikan sempadan. Sentimen tidak akan membawa kejayaan kepada umat Melayu dan kemakmuran kepada Malaysia. Sentimen ini bukan agenda baru dalam politik, ia pernah dimainkan sejak zaman khalifah Islam lagi. Sebagai contoh, sentimen yang ditiupkan Muawwiyah membangkitkan semangat orang Islam menentang Saidina Ali dengan membakar sentimen kononnya Saidina Ali gagal mencari pembunuh Saidina Othman demi mencapai kuasa politik ketika itu.

14. Walaupun dikatakan sukar, tetapi saya yakin dengan agenda perjuangan Islam dan pendekatan politik terbuka dan sederhana Fadzil Noor akan diteruskan oleh Amanah. Keputusan PRU yang lalu tidak akan mematahkan semangat saya untuk meneruskan perjuangan ini. Umat Melayu perlu terus dididik dan disedarkan bahawa Islam terancam dan Melayu terpinggir hanyalah mainan politik fitnah PAS. Sentimen ini tidak bolehpun mengubah kedudukan sosioekonomi umat Melayu.

15. Hanya kesungguhan politik (political will) mampu mengubah posisi ini, dan besarlah harapan kita pada kepimpinan negara yang baharu diterajui Anwar Ibrahim untuk melakukan perubahan ini. Hakikatnya, pendidikan dan ekonomi Melayu yang perlu dipulihkan, dan usaha ini perlu dilakukan secara objektif tanpa kita dipesongkan dengan propaganda perkauman yang dimainkan PAS. PAS perlu bersama membina negara dengan menjadi pembangkang yang konstruktif untuk menjadi semak imbang yang matang dan sejahtera dan berhenti meniup api perkauman bagi mengelak sebarang ketegangan kaum. Titah Majlis Raja-raja Melayu pada 30 November 2022 supaya parti politik berhenti memainkan isu perkauman mestilah dipatuhi.

Faiz Fadzil
2 Disember 2022

Horseman.

Menara KL dijual secara senyap-senyap oleh kerajaan dahulu?
Menara KL dijual secara senyap-senyap oleh kerajaan dahulu? Konsesi dan hak ke atas mengurus Menara KL adalah suatu perniagaan yang dimiliki oleh Telekom Malaysia Berhad melalui anak syarikatnya Menara KL Sdn Bhd.
Ianya bukan suatu perniagaan yang merugikan, tetapi suatu perniagaan yang menjana keuntungan bersih berpuluh-puluh juta ringgit setiap tahun kepada Telekom Malaysia Berhad.
Contohnya pada tahun 2019 (sebelum Covid-19), keuntungan bersih yang dicatat oleh Menara KL Sdn Bhd melalui konsesi dan hak mengurus Menara KL ialah sebanyak RM20 juta.
Pada tahun 2018, Menara KL mencatat keuntungan bersih sebanyak RM25 juta.
Oleh kerana perniagaan mengurus Menara KL ini membawa keuntungan kepada Menara KL Sdn Bhd, ianya juga membawa keuntungan kepada Telekom Malaysia Berhad.
Maka secara langsungnya ia juga membawa keuntungan kepada negara Malaysia dan rakyat Malaysia kerana Telekom Malaysia Berhad adalah syarikat yang dimiliki oleh Kerajaan Malaysia dan orang awam.
Yang peliknya, pada 31 Oktober 2022, iaitu tarikh selepas Parlimen dibubar, 10 juta saham yang dimiliki oleh Telekom Malaysia Berhad dalam Menara KL Sdn Bhd telah dipindahkan secara senyap-senyap kepada Hydroshoppe Sdn Bhd.
Entah siapalah Hydroshoppe Sdn Bhd ini.
Tetapi semakan SSM mendapati bahawa Hydroshoppe Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat yang bermasalah dan hampir dinyahsenaraikan dari SSM kerana gagal membuat perisytiharan dan pemfailan mengikut jadual.
Ianya bermasalah dan sedang dalam proses dibuang, tetapi PN telah membuat keputusan untuk menyalur keuntungan bersih berpuluh-puluh juta ringgit setahun dari akaun bank Telekom Malaysia Berhad kepada akaun bank sebuah syarikat yang bermasalah.

Secara ringkasnya, berpuluh-puluh juta ringgit keuntungan bersih yang pada asalnya sedang dinikmati oleh Telekom Malaysia Berhad (negara dan rakyat) telah diserah kepada beberapa orang insan terpilih (Hydroshoppe Sdn Bhd).
Berpuluh-puluh juta ringgit ini pada asalnya sedang dinikmati oleh rakyat Malaysia melalui pemilikan saham Telekom Malaysia Berhad, pembinaan menara telco, perkembangan jaringan komunikasi di kawasan-kawasan desa dan sebagainya.
Tetapi tiba-tiba dihentikan dan disalurkan kepada beberapa orang insan terpilih dalam Hydroshoppe Sdn Bhd.
Maka rakyat marhaen tidak akan merasai limpahan nikmat berpuluh-puluh juta ringgit tersebut di masa akan datang.
Sebaliknya beberapa insan terpilih dalam Hydroshoppe Sdn Bhd sahaja yang akan menikmati berpuluh-puluh juta ringgit tersebut.

SUGGESTED NEWS





Horsemen

Sebab apakah perkara ini boleh berlaku ketika Annuar Musa menjadi Menteri Komunikasi?
Adakah Annuar Musa yang kini bersama PN terlibat dalam usaha meminggirkan Melayu marhaen daripada menikmati limpahan keuntungan Menara KL?